Di zaman Nabi Musa a.s. ada seorang hamba Allah yang
kerjanya mencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri. Suatu hari, dia terlihat Nabi
Musa a.s. sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi
Musa a.s. Katanya; “ Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan
ada juga berkatnya untuk aku.”
Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi
melangsungkan niatnya itu. Dia berkata, “Aku ini pencuri. Manalah layak pencuri
macam aku ini berjalan bersama seorang nabi.” Sejurus kemudian, dia terlihat
pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa a.s. dari belakang. Si
abid ini telah beribadah secara istiqamah selama 40 tahun dan dikenali orang.
Si pencuri itu berkata di dalam hatinya, “Baik aku berjalan bersama si abid
ini. Moga-moga ada juga baiknya untuk aku.”
Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta
kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si
abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, “Celaka
aku! Kalau si pencuri ini berjalan bersama aku, takut-takut nanti rusak segala
kebaikan dan amalanku.”
Si abid terus berlari laju supaya si pencuri tidak dapat
ikut. Si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana hendak berjalan bersamanya.
Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa a.s.
Nabi Musa a.s. terus berpaling dan bersabda kepada mereka
berdua, “ Aku baru sahaja mendapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu
kamu berdua bahawa segala amalan baik dan buruk kamu telah dimansuhkan oleh
Allah.” Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi. Berbahagialah si pencuri
kerana segala dosanya mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah.
Celaka dan dukacitalah si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40
tahun telah ditolak dan tidak diterima oleh Allah.
Rupa-rupanya si pencuri itu, walaupun kerjanya mencuri,
dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia miskin dan tanggungannya banyak.
Masyarakat ketika itu sudah rusak dan orang kaya enggan membantu fakir miskin.
Dia mencuri kerana terpaksa. Oleh itu, setiap kali dia mencuri, dia amat merasa
bersalah dan berdosa. Jiwanya tersiksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung
rasa berdosa itu dan selama itu juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40
tahun hatinya merintih meminta belas kasihan, keampunan dan mengharapkan kasih
sayang Tuhan
Si abid pula, amat yakin ibadahnya mampu menyelamatkan-nya.
Dia yakin ibadahnya akan dapat membeli Syurga. Setiap kali dia beribadah, dia
rasa dirinya bertambah baik. Setiap kali dia beribadah, dia rasa dirinya
bertambah mulia. Selama 40 tahun si abid ini mendidik hatinya supaya merasa
lebih baik dan lebih mulia setiap kali dia membuat ibadah. Hingga dia rasa
tidak layak bergaul, apalagi
berjalan bersama orang yang hina dan berdosa. Dia rasa dia hanya layak berjalan
bersama para Nabi.
Maha Suci Allah yang mengetahui segala isi hati
manusia. Yang tidak melihat akan amalan-amalan lahir tetapi apa yang ada di
dalam hati. Yang menilai hamba-Nya mengikut apa yang termampu oleh hamba-Nya
dan tidak lebih dari itu. Yang menguji manusia dengan kesusahan dan nikmat
untuk mengetahui siapa di kalangan hamba-hamba-Nya yang benar-benar berjiwa
hamba dan merasa bahawa Allah itu Tuhannya.